Tips Kekal Cergas Bertenaga di Bulan Ramadhan

Bulan ibadah penuh barakah, Ramadhan Al-Mubarak kembali lagi. Sambil menjalani ibadah berpuasa, kita turut meraih kekuatan iman dan belajar mengawal nafsu diri. Tatkala menahan diri daripada lapar dan dahaga, Ramadhan mendidik kita agar bersabar terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai menu lazat yang pastinya menaikkan nafsu makan berbanding hari-hari biasa.

Pun begitu, fadilat berpuasa menjadi hambar jikalau anda masih mengamalkan tabiat pemakanan atau gaya hidup yang tidak sihat. Makan berlebihan, mengambil makanan berat sepanjang malam, menikmati makanan yang tidak berkhasiat, kurang minum air, minum minuman manis dan tidur semasa kenyang merupakan antara contoh tidak sihat yang biasa diamalkan. Kesannya, memudaratkan diri anda sendiri. Jadi pemilihan pemakanan yang sihat amat perlu untuk memastikan kita kekal bertenaga dan cergas sepanjang hari.

APA YANG BERLAKU KETIKA BERPUASA?

  • Semasa berpuasa, badan akan mula menggunakan karbohidrat dalam badan sebagai sumber utama tenaga.
  • Apabila badan kehabisan karbohidrat, lemak pula akan digunakan sebagai sumber tenaga yang seterusnya.

MANFAAT BERPUASA

Selain dari menjalankan kewajipan rukun Islam ketiga, berpuasa juga memberi pelbagai faedah kesihatan. Penurunan berat badan secara signifikan, diikuti amalan berbuka dengan pilihan menu yang sihat dan seimbang telah terbukti berkesan untuk mencegah pelbagai penyakit masa kini juga penyakit gaya hidup sekarang. Antara manfaatnya:

  • Detoksifikasi dan membebaskan tubuh dari racun.
  • Menambah sel darah putih yang penting untuk sistem imunisasi tubuh
  • Meremajakan sel-sel tubuh ketika tubuh dalam posisi istirahat
  • Menyekat makanan punca pembiakan bakteria atau virus
  • Mengimbangi kadar asid dan alkali dalam tubuh
  • Meningkatkan fungsi organ dengan merangsang seluruh sel atau organ tubuh
  • Merehatkan sistem penghadaman dan pencernaan
  • Memulihkan fungsi hormon agar kembali normal
  • Membuat semua pancaindera lebih peka dan tajam

KETIKA BERSAHUR

  • Minum air yang mencukupi
  • Hadkan pengambilan garam dan kafein berlebihan
  • Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat – Ia membantu anda rasa kenyang lebih lama sambil menyokong kesihatan sistem pencernaan
  • Pilih karbohidrat kompleks – Ia lambat dihadam, justeru membekalkan tenaga yang lebih stabil dan mampan
  • Ambil protein – Ia membantu membina dan membaiki tisu badan di samping menyokong kesihatan imun

PANDUAN CERGAS PUASA

  1. Jalan Kaki
    Cara ini lebih efektif kerana ia boleh dilakukan ketika anda sedang menuju ke tempat kerja atau ke mana sahaja. Anda boleh memanfaatkan jarak 100 hingga 200 meter untuk berjalan kaki menuju ke pejabat atau tempat lain setelah turun dari kenderaan. Ketika berjalan kaki, usahakan jangan terlalu laju, nikmati setiap langkah sambil mengatur tarikan nafas.
  2. Jogging
    Pada dasarnya senaman ini sama dengan berjalan kaki, bezanya joging ialah dalam bentuk larian kecil sambil menggerakkan otot tubuh agar otot yang kaku boleh dilenturkan kembali sehingga tubuh menjadi ringan serta segar. Joging boleh dilakukan pada waktu pagi selepas sahur kerana udara pagi sangat segar.
  3. Yoga
    Gerakan yoga boleh dimanfaatkan sebagai satu bentuk senaman minda. Dengan melakukan yoga, anda boleh melenturkan saraf-saraf tubuh yang tegang dan menyalurkan tenaga positif ke seluruh tubuh.
  4. Senaman
    Gerakan senaman ketika berpuasa seharusnya tidak terlalu berat. Gerakan juga tidak terlalu rumit, yang penting otot di tubuh boleh digerakkan sehingga menjadi santai.
  5. Latihan Beban
    Dianjurkan supaya anda melakukan latihan beban kerana ia lebih memfokuskan glikogen otot sebagai penjana tenaga. Latihan seperti mengangkat dumbbell, sit-up atau push-up boleh dilakukan kira-kira 20-30 minit sebelum berbuka.

BERBUKA PUASA LEBIH SIHAT

  • Minum air dan buah-buahan terlebih dahulu sebelum memakan nasi atau sebarang jenis makanan. Ini membuatkan anda rasa kenyang dan seterusnya membantu anda mengawal jumlah pengambilan makanan.
  • Pastikan hidangan yang dimakan adalah seimbang.
    Permakanan seimbang bermaksud anda makan berpandukan keperluan tubuh badan . Pastikan anda makan pelbagai jenis makanan yang merangkumi setiap aras.
  • Pastikan saiz hidangan yang diambil adalah mengikut keperluan tubuh badan anda. Sekiranya anda ingin mencuba pelbagai jenis hidangan, pastikan saiznya sedikit. Jangan mengambil sesuatu jenis makanan dalam kuantiti yang banyak
  • Kurangkan pilihan makanan yang tinggi lemak seperti rendang, lontong, kari bersantan, lemang dan sebagainya. Anda masih boleh menjamahnya tetapi bukanlah dalam kuantiti yang berlebihan.
  • Lebihkan pengambilan hidangan yang tinggi serat
    Ia akan membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama. Sekiranya terdapat hidangan buah-buahan, makan buah terlebih dahulu agar mengelakkan anda makan secara berlebihan

Cadangan Tambahan

Berbuka dengan minuman, kurma dan hidangan ringan, kemudian dirikan Solat Maghrib terlebih dahulu. Ini membantu perut anda lebih tenteram dan makan dengan terkawal.

Absolute Wellness ingin mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadan Puasa kepada semua.

Sumber:

  1. British Nutrition Foundation, A Healthy Ramadhan, June 2015
  2. Diabetes UK, Fasting & Diabetes
  3. RMIT University Australia, Healthy fasting during Ramadhan
  4. Dr Syed H. Akthar, Health Aspects of Fasting in Ramadhan:
  5. Stay Healthy During Ramadhan, Islamic Research Foundation International (IRFI)
  6. HealthXchange.com.sg – Tips for Healthy Ramadhan Fasting

Leave a Reply

%d bloggers like this: