fbpx

Benarkah Masak Menggunakan ‘Air Fryer’ Boleh Menyebabkan Kanser?

Alat memasak airfryer sering diiklankan sebagai peralatan memasak yang selamat dan sihat untuk digunakan.

Bayangkan anda boleh memasak tanpa menggunakan minyak. Ia merupakan satu bentuk revolusi yang menakjubkan!

Penggunaan alat memasak airfryer semakin popular berikutan tahap kesedaran terhadap gaya hidup sihat dan bahaya makanan bergoreng.

Di negara maju seperti Amerika sebagai contoh, 40% sumber makanan harian datangnya daripada produk makanan beku seperti kentang goreng dan sosej.

Maka dalam konteks tersebut, penggunaan airfryer dilihat sebagai alternatif untuk mengurangkan risiko kesihatan dengan cara mengehadkan (atau tidak menggunakan langsung) jumlah minyak di dalam masakan.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan mengenai tahap keselamatan penggunaan air fryer terhadap tahap kesihatan umum.

Adakah ia benar-benar sihat dan selamat? Betul ke ura-ura yang menyatakan air fryer boleh menyebabkan kanser.

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Perbandingan di antara alat memasak air fryer dengan kaedah masakan lain

Pengilang telah mencipta air fryer untuk menghasilkan makanan yang sihat.

Lazimnya, makanan yang sering digunakan bersama dengan alatan ini jenis yang perlu digoreng menggunakan minyak.

Ia tidak boleh menggantikan cara penyediaan makanan sihat tradisional lain seperti memanggang.

Makanan bergoreng mempunyai kandungan lemak yang sangat tinggi jika ia digoreng bersama dengan minyak.

Sebagai contoh, 100 gram ayam goreng mengandungi 13.2 gram lemak. Jika dibandingkan dengan berat ayam yang sama tetapi dipanggang, nilai lemak ayam goreng adalah jauh lebih tinggi.

100 gram ayam panggang mengandungi 0.39 gram lemak.

Alat memasak airfryer hanya memerlukan sedikit sahaja minyak bagi menggoreng makanan untuk mendapatkan tekstur yang lebih kurang sama dengan makanan yang digoreng rendam dengan minyak.

Perkara ini menjadi pilihan mereka yang ingin mengamalkan pemakanan sihat tanpa mengorbankan tekstur rasa pada juadah yang diambil.

Penggunaan minyak sayuran dalam teknik memasak goreng rendam sering dikaitkan dengan risiko penyakit jantung dan kadar proses radang yang tinggi.

Terdapat juga kaedah memasak lain yang jauh lebih sihat seperti memanggang, bakar dan sebagainya.

Namun, ia tidak boleh memberikan kerangupan makanan seperti apa yang dihasilkan oleh peralatan memasak air fryer.

Kebaikan yang anda boleh nikmati

Terdapat pelbagai jenis kebaikan yang boleh anda nikmati melalui penggunaan alat memasak air fryer.

Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Penggunaan airfryer boleh membantu menurunkan berat badan. Oleh sebab pengambilan makanan berminyak sering dikaitkan dengan masalah obesiti, airfryer boleh menghasilkan makanan bebas minyak dan rendah kalori. Jika ditambah dengan pantang larang lain seperti tidak ambil minuman bergula dan sebagainya, kadar penurunan berat badan adalah lebih optimum.
  2. Airfryer lebih selamat daripada makanan yang bergoreng dengan minyak rendaman. Anda hanya perlu buka ruangan, isi makanan, tutup dan putarkan suis masa mengikut durasi yang sesuai mengikut jenis makanan. Jika anda menggoreng makanan menggunakan minyak, ia boleh terpercik atau lebih bahaya, anda boleh tercelup jari ke dalam minyak panas.
  3. Makanan yang digoreng di dalam minyak boleh menyebabkan terbentuknya kompaun akrilamide. Ia merupakan sejenis kompaun berbahaya yang terbentuk semasa anda menggoreng makanan. Menurut Agensi Kajian Kanser Antarabangsa (IARC), kompaun tersebut boleh menyebabkan kanser. Penggunaan peralatan memasak airfryer boleh menghindarkan risiko tersebut.
  4. Risiko penyakit kronik rendah apabila anda mengurangkan pengambilan makanan bergoreng. Ia merupakan kelebihan bagi mereka yang memilih untuk menggunakan airfryer.

Keburukan penggunaan alatan memasak airfryer

Bukan perkara baik sahaja yang boleh anda nikmati bersama dengan airfryer, setiap peralatan juga mempunyai kekurangannya yang tersendiri. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Airfryer tidak menjamin tahap kesihatan makanan yang dimasak. Walaupun ia boleh menyediakan alternatif yang lebih sihat, namun jika makanan asas itu sendiri tidak sihat, ia masih boleh menyebabkan masalah kesihatan kelak. Antara contoh makanan yang boleh memberi impak negatif adalah daging berproses dan makanan beku yang kaya dengan lemak trans.
  2. Airfryer boleh menghasilkan kompaun berbahaya. Memang ia boleh menghindarkan pembentukan akrilamid. Pun begitu, kompaun berbahaya lain seperti kompaun hidrokarbon aromatik polisiklik masih boleh terhasil kesan daripada masakan menggunakan airfryer. Kompaun tersebut boleh menyebabkan kanser.
  3. Makanan yang dihasilkan tetap bergoreng. Seperti yang anda sedia maklum, makanan bergoreng tidak baik untuk kesihatan. Tidak kiralah jika ia tidak menggunakan sebarang minyak sekalipun.

Konklusi

Dapatan kajian berkaitan dengan kesan makanan yang disediakan oleh airfryer terhadap kesihatan masih lagi terhad.

Apa yang kita tahu setakat ini, jika dilihat secara keseluruhan, penggunaan alat memasak airfryer sememangnya boleh memberikan banyak manfaat berbanding dengan makanan yang digoreng di dalam minyak.

Sekiranya anda risau akan risiko untuk mendapat masalah kesihatan kesan daripada penggunaan airfryer dalam penyediaan makanan, rujuk doktor atau pakar pemakanan bertauliah sekarang.

Credit to HelloDoktor

Leave a Reply

%d bloggers like this: